OKTOBER 2021

Kukuhkan Semangat Keluarga Malaysia, Parlimen Petra Jaya Hulur Sumbangan


KUCHING: Penerima Bantuan Galakan Pendidikan Pengajian Tinggi P.194 Petra Jaya menyifatkan sumbangan yang diterima dapat membantu meringankan beban kewangan.

Rata-rata penerima bantuan terdiri daripada pelajar di kawasan Parlimen Petra Jaya yang berjaya melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi (IPT).

Mereka menzahirkan terima kasih dan bersyukur atas bantuan yang diterima untuk membantu membiayai perbelanjaan pengajian nanti.

Penyampaian bantuan dilakukan Menteri Kanan Kerja Raya yang juga Ahli Parlimen Petra Jaya, Datuk Seri Fadillah Yusof sempena Program Jelajah Keluarga Malaysia ke tiga-tiga kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di kawasan Parlimen P.194 Petra Jaya, di Dewan Kampung Kudei Baru Iban, di sini. Seramai 16 pelajar Melayu dan Iban menerima bantuan galakan pendidikan berjumlah RM3,200.

Tiga DUN dalam Parlimen Petra Jaya ialah DUN Satok, Tupong dan Samariang.

Fadillah ketika ditemui media berkata, program Jelajah Keluarga Malaysia itu melibatkan semua kaum untuk menyemarakkan semangat Keluarga Malaysia khususnya di kawasan Parlimen Petra Jaya.

“Amat penting semangat Keluarga Malaysia menekankan keterangkuman, kebersamaan dan kesyukuran untuk meningkatkan nilai-nilai kesyukuran dalam kalangan masyarakat tanpa mengira latar belakang kerana kita adalah satu keluarga yang besar,” katanya.

Dalam perkembangan sama, penerima bantuan pendidikan, Nurul Izzah Insyirah Wazir,20, bersyukur kerana mendapat bantuan pendidikan ini untuk menampung perbelanjaan di

Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (UniSHAMS) nanti.

Beliau akan mengikuti Ijazah Sarjana Muda Syariah menaruh harapan berharap agar perjalanannya sebagai seorang penuntut akan dipermudahkan dan berhasrat berkhidmat di negeri ini.

Seorang lagi penerima, Farah Amirah Wazir,21, yang juga menuntut di universiti yang sama berharap akan menyumbang bakti kepada negeri sendiri sebaik sahaja tamat pengajian.

“Terima kasih kepada Parlimen Petra Jaya atas sumbangan bantuan galakan pendidikan untuk kami,” katanya.

Sementara itu, Fadillah pergi ke DUN N7 Samariang untuk program Ziarah Kasih Warga Emas dan Orang Kelainan Upaya (OKU) di Kampung Semerah Padi, Semariang. 

Beliau turut menghulurkan sumbangan dalam bentuk kewangan dan bantuan bakul makanan.

Fadillah kemudian ke DUN N6 Tupong untuk Program Bersama Keluarga Malaysia Dan Penyampaian Bantuan Bakul Makanan Dan Kebajikan kepada penduduk yang terdiri daripada komuniti Cina, Jawa dan Bidayuh, di Dewan SUPP, Sungai Tengah, Matang.

Seramai 30 penduduk menerima bantuan bakul makanan berjumlah RM1,800. Turut diberikan bantuan kebajikan dalam bentuk kerusi roda, susu untuk warga emas dan lampin dewasa kepada yang memerlukan.

Sumber dari : Jiwa Bakti